Arkib untuk Oktober, 2008

Teo Kok Siong: Bahasa Melayu Boleh Diperkayakan

Posted in semasa, siasah, umum with tags on Oktober 19, 2008 by ffataah

Bahasa Melayu–sebagai salah satu bahasa bukan-rumpun, dan dikatakan bukan dari mana-mana serpihan dari bahasa yang lain–turut tidak terkecuali untuk meminjam. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku dewasa ini, kita lebih banyak meminjam dari memperkayakan kekuatan kosakata kita sendiri. Mari kita jelajahi keluhan professor Teo Kok Seong dalam wawancara siri terakhir ini. baca lagi>>

Sumber : ummahonline.com

Advertisements

Majlis Hari Raya Aidilfitri UPWBS

Posted in Aktiviti, pas, politik, semasa, siasah, umum on Oktober 16, 2008 by ffataah

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan telah diadakan pada 15 Syawal 1429H/ 15 Oktober 2008 yang lalu. YB Wan Ubaidah Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan dan YB Timbalan Pengerusi, Rohani Ibrahim turut hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut yang diadakan di perkarangan Pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu.

Bahasa Ibunda Dicintai, Bahasa Asing Dihormati

Posted in agama, Aktiviti, pas, politik, semasa, siasah, umum with tags on Oktober 15, 2008 by ffataah

Mengambil contoh keadaan di negeri kelahiran sendiri, saya ingin mengupas serba sedikit pandangan mengenai bahasa. Sesuai dengan tajuk tulisan ini “Bahasa ibunda dicintai, Bahasa asing dihormati”. Apa yang mendorong saya ialah sikap masyarakat sekarang yang terlalu mengagung-agungkan bahasa asing. Fenomena ini begitu ketara berlaku lebih-lebih lagi di Bandar-bandar besar seluruh Negara sehinggakan kita boleh keliru di negara manakah kita berada sekarang. Apabila bercakap perkataan yang keluar bukanlah bahasa Melayu sebaliknya bahasa Inggeris yang lebih utama.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding di negara lain. Walaupun masyarakat mereka juga berbilang kaum, tetapi bahasa yang digunakan seharian adalah bahasa ibunda mereka sendiri. Sebagai contoh Thailand dengan bahasa Thainya dan Indonesia dengan bahasa Indonesianya. Satu perkara yang membimbangkan adalah, dengan sikap masyarakat kini, dikhuatiri keaslian bahasa ibunda, tidak terkecuali samada bahasa Melayu, Cina mahupun India akan hilang ditelan zaman. Kita tidak akan sedar keadaan ini kerana ianya satu proses jangkamasa yang amat panjang.

Di Kelantan, semua penduduknya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu dialek Kelantan. Penduduknya tidak terlalu ghairah untuk menggunakan bahasa asing kerana kecintaan terhadap bahasa ibunda begitu mendalam. Masyarakat yang ingin berkomunikasi dengan penduduknya hendaklah tahu bahasa Melayu dan sekiranya boleh berinteraksi dengan dialek Kelantan adalah satu kelebihan. Ini sesuai dengan pepatah Melayu “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.

Semua penduduk di seluruh pelusuk negeri hanya menggunakan satu bahasa percakapan dan ini termasuklah semua kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Siam mahupun penduduk kaum orang asli. Maka tidak hairanlah seseorang yang berbangsa Cina, India, hatta yang berbangsa Arab sekalipun lama-kelamaan akan boleh bercakap dialek Kelantan apabila bergaul dengan orang Kelantan. Namun masyarakat Kelantan tetap menghormati bahasa asing lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bangsanya sendiri kerana sifat orang Melayu yang amat menghormati tetamu. Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.

Iskandar untuk ‘Non Malaysian’

Posted in politik, semasa with tags on Oktober 8, 2008 by ffataah

Antara kenyataan akhbar semalam adalah ” Medini ialah pembangunan berskala besar bertaraf dunia yang pertama oleh Iskandar Malaysia yang menawarkan ruang hartanah kepada antarabangsa“.

Kenyataan lain lagi ” Kawasan itu direka sebagai destinasi khusus untuk komuniti antarabangsa dengan keseimbangan antara pembangunan bandar dan alam semula jadi“.

Lagi kenyataan berbunyi ” Medini akan dibangunkan di kawasan pembangunan bandar bercampur antarabangsa seluas 920 hektar…

Kenyataan-kenyataan di atas merujuk kepada projek pembangunan perbandaran Iskandar Malaysia yang kini giat dijalankan. Pembangunnan yang begitu gah dengan bangunan- bangunan pencakar langit dijangka akan menjadi sumber ekonomi baru kepada negara. Namun di suatu sudut hati kecil saya berkata berapa unit bangunan yang akan menjadi milik rakyat Malaysia dengan adanya polisi sedemikian? Apa jaminan rakyat Malaysia akan mampu memiliki premis-premis perniagaan mahupun lot-lot banglo disana?

Persoalan timbul dimana tidakkah kita hanya menggadaikan tanah milik rakyat Malaysia kepada negara lain? Persolan ini telah pun dibangkitkan sebelum ini, namun jawapannya masih belum pasti. Bukanlah bermaksud untuk menolak fasa baru pembangunan negara. Tetapi sebagai peringatan kepada semua supaya tidak leka mengejar kemajuan tanpa melihat kesannya kepada negara, bangsa dan agama.

Masjid ‘Pagoda’ Di Rantau Panjang

Posted in agama, Aktiviti, semasa with tags on Oktober 7, 2008 by ffataah

Masjid Cina, mercu tanda baru bagi penduduk Rantau Panjang, Kelantan. Bernilai kira-kira RM7.2 juta masjid ini Juga dikenali sebagai masjid pelbagai budaya dengan mengambil contoh senibina Pagoda di China. Walaupun pembinaannya masih belum sempurna, ia telah pun digunakan untuk untuk sembahyang terawih semasa di bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Pembinaan masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya bulan hadapan.

Sementara ianya dibuka kepada umat Islam untuk sembahyang,  pelawat-pelawat juga dibenarkan untuk melihat senibina masjid dan sebagai tempat untuk berehat kerana disediakan tempat khas di ruangan bawah masjid. Kewujudan masjid ini dijangka akan menarik ramai pelancong yang datang untuk melihat Masjid yang satu-satunya terdapat di Negeri Kelantan seumpamanya. Setakat ini, sambutan daripada pengunjung-pengunjung adalah diluar jangkaan. Mereka terdiri daripada pelawat-pelawat daripada luar Kelantan dan penduduk di Selatan Thailand yang sering berkunjung ke daerah ini. Selain menunaikan solat dan berehat, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar masjid sebagai kenangan.

Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Posted in semasa with tags , , on Oktober 5, 2008 by ffataah

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini. “Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.

“Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama.”Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam perutusan Eidulfitrinya.Beliau percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. “Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri.

“Saya yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua,” kata beliau.Bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Aspek kepelbagaian tersebut harus menjadi kekuatan rakyat Malaysia untuk berganding bahu serta saling percaya antara satu sama lain, kata beliau. “Tuhan tidak membezakan kita di antara warna kulit ataupun fahaman politik malah kepercayaan agama terjamin di kalangan semua agama, termasuk Islam. “Oleh itu adalah tidak betul dan tidak patut insan dalam parti politik tertentu cuba memecah belahkan rakyat dan menggugat perpaduan nasional dengan menggunakan isu perkauman, menabur fitnah dan menggalakkan penggunaan kekerasan.

“Namun kumpulan ekstremis ini cuba menggunakan isu bahasa sungguhpun semua bahasa di dunia baik Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Hindi, Urdu, Thai dicipta oleh Tuhan,” kata Guan Eng. Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan. “Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz,” katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza. “Jangan jadikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai alasan untuk bertindak ganas atau menuju ke arah jenayah. Yang penting, tali silaturahim antara kita harus diikat erat. “Jangan kita biar pihak tertentu mengadu domba persahabatan kita sesama kaum semata-mata kepentingan politik perkauman sempit mereka.

“Semoga hari lebaran ini disambut dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan. Amar Ma’aruf Nahi Mungkar . Maaf zahir batin,” kata beliau mengakhiri perutusannya.

Sumber : Harakahdaily

Malam Terakhir Persiapan Raya Tetap Meriah Di Wakaf Che Yeh

Posted in semasa with tags , on Oktober 1, 2008 by ffataah

Menyedari persiapan yang belum lengkap bagi sambutan hari raya tahun ini kerana pakaian seperti capal dan kopiah yang belum dibeli, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Wakaf Che Yeh untuk mendapatkannya. Semalam merupakan malam terakhir untuk membuat persiapan kerana hari ini merupakan Hari Raya Aidilfitri. Bersama-sama dengan abang, adik dan dua orang kawan, kami menuju ke Wakaf Che Yeh bagi memenuhi hasrat tersebut. Sangkaan saya pada malam tersebut tiada lagi orang-orang seperti kami yang keluar mencari persiapan pada saat-saat akhir. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset sama sekali. Agak terkejut kami kerana rupa-rupanya ramai yang keluar pada malam terakhir tersebut.

Ternyata Wakaf Che Yeh merupakan satu pusat membeli belah pada waktu malam yang sentiasa meriah tanpa mengira waktu. Terletak di jalan Kuala Krai, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar, Wakaf Che Yeh menjadi satu pusat tumpuan yang strategik kerana menjadi destinasi membeli belah bagi masyarakat Kota Bharu, Kubang Kerian, Ketereh dan Pasir Mas. Bagi masyarakat setempat Wakaf Che Yeh sudah tidak asing lagi kerana merupakan tempat bagi mendapatkan segala keperluan. Wakaf Che Yeh juga telah terkenal dikalangan pelancong yang datang dari luar Kelantan. Bagi mereka yang datang dari luar Kelatan ini, Wakaf Che Yeh akan menjadi salah satu tempat yang akan dikunjungi sebagai tempat untuk membeli belah. Jika masyarakat di Kuala Lumpur terkenal dengan Uptown dan Downtownnya, di Kelantan Wakaf Che Yehlah yang setanding dengannya malah lebih menarik lagi.

Wakaf Che Yeh yang dahulunya terletak di tapak perniagaan yang agak tidak sempurna kerana tempatnya yang tidak berturap dan becak apabila hujan turun. Pun begitu, pengunjungnya sentiasa memenuhi kedai-kedai yang terdapat di sana. Kini di atas inisiatif Kerajaan Negeri yang perihatin dengan perkembangn Wakaf Che Yeh telah melaksanakan beberapa pembangunan di sini. Kerajaan telah mendirikan bangunan dengan lot-lot kedai yang lebih tersusun dan berpusat. Tapak perniagaannya juga telah diturap bagi mengatasi masalah becak dan memastikan pengunjung akan berasa selesa apabila berkunjung ke Wakaf Che Yeh. Apabila malam menjelang maka bermulalah aktiviti di Wakaf Che Yeh. Semakin jauh malam maka makin bertambahlah pengunjung-pengnjung yang datang. Pelbagai barangan boleh didapati di sini seperti pakaian, makanan, aksesori, barangan perhiasan rumah dan buah-buahan. Harganya agak berpatutan dan dikatakan jauh lebih murah berbanding tempat-tempat membeli belah lain yang ada di Kelantan.

Menjelang pagi premis-premis kedai akan ditutup. Pengunjung juga akan semakin berkurang dan apabila siang menjelma maka berakhirlah aktiviti di Wakaf Che Yeh pada malam tersebut. Kemeriahan malam di Wakaf Che Yeh akan bermula lagi apabila malam menjelang. Pada malam tersebut kami telah pulang dengan perasaan gembira kerana segala persiapan hari raya dapat dibeli.