Haruan Makan Anak!

Posted in umum with tags on April 17, 2010 by ffataah

Haruan makan anak, itulah salah satu peribahasa Melayu yang berkait dengan sejenis ikan air tawar ini. Saya bukanlah ingin membahas tentang peribahasa tersebut tetapi ingin menulis mengenai ikan ini. Kebetulan secara tidak sengaja saya telah menangkap beberapa ekor ikan petang tadi.

Ikan haruan adalah sejenis ikan pemangsa dalam kategori ikan-ikan. Kerana sifatnya ini maka ikan haruan menjadikan ikan-ikan kecil sebagai makanan, termasuklah anaknya sendiri. mungkin kerana inilah orang tua dulu-dulu menjadikan ikan haruan sebagai peribahasa yang disebut tadi.

Kalau pada zaman sebelum ini, ikan haruan tidaklah begitu berharga kerana tiada apa yang istimewa kerana rasanya yang tidak setanding dengan ikan-ikan lain seperti kelah, patin dan lampam di dalam kategori ikan air tawar. Namun dewasa ini, ianya semakin popular kerana dikatakan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Tidak hairanlah orang semakin mencari-cari untuk mendapatkan ikan haruan. Justeru, harganya kini semakin mahal berbanding dahulu.

Ikan haruan telah digunakan secara tradisional untuk menyembuhkan luka-luka dengan lebih cepat khususnya bagi wanita-wanita yang baru bersalin. Secara perubatan kampung, wanita-wanita yang masih di dalam pantang amat digalakkan memakan ikan haruan supaya kadar penyembuhan mereka daripada bersalin lebih cepat.

Gereja Katholik Menang Moral

Posted in agama with tags , on Januari 1, 2010 by ffataah

Semalam mahkamah telah mengisytiharkan larangan bagi gereja katholik menggunakan perkataan Allah adalah tidak sah. Disebalik kemenangan pihak gereja dalam kes ini, yang lebih dibimbangi adalah kesan jangka panjang bagi umat Islam di negara ini.

Kemenangan moral di pihak gereja adalah yang utama patut diperhatikan. Perkataan Allah sebaliknya adalah merujuk kepada tuhan yang saya kira tidak dapat lari dari penggunaannya oleh sesiapa tidak kira mereka menganut mana-mana agama.

Kemenangan moral ini memungkinkan pihak gereja mahupun mana-mana agama untuk mencabar kesucian Islam dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi negara pada masa hadapan.

Setiap daripada kita yang cintakan kedaulatan agama Islam di negara ini harus memandang berat kes ini dan tidak seharusnya berdiam diri dengan menganggap ianya satu kes yang remeh.

Yusuf Al-Qaradawi Bawa Isu Qazaf Anwar Ke Peringkat Dunia

Posted in agama with tags , , , , on Disember 25, 2009 by ffataah

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Ulamak Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi kesal pendakwaan qazaf (tuduhan zina terhadap orang baik) ke atas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dijalankan dan berjanji akan membincangkannya dengan ulama antarabangsa.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin berkata, Sheikh Yusof memberitahu beliau tidak akan berdiam diri dalam perkara itu.

Zulkifli berkata, Sheikh Yusof juga menyarankannya menemui beberapa tokoh dan ilmuan syarie peringkat dunia untuk mendapatkan pandangan serta fatwa mengenai perkara itu.

“Beliau memberikan beberapa nama untuk saya hubungi,” katanya dalam blognya.

Menurutnya, kekesalan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1431 itu diluahkan ketika bertemu Anwar, isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai di Putrajaya baru-baru ini.

Zulkifli berkata, Sheikh Yusof berpendapat perkara berkaitan dengan qazaf tidak patut dilengah-lengahkan.

“Kami menjelaskan kepada beliau mengenai dwi-sistem yang kita ‘amalkan (di Malaysia). Pihak pendakwa syarie memilih untuk menunggu kes pertuduhan di Mahkamah Jenayah Sivil selesai sebelum menimbangkan untuk dibawa ke mahkamah syariah, sedangkan kes ini akan mengambil masa bertahun-tahun.

“Menurut Sheikh Yusof, kes berkaitan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kesaksian penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana dia termasuk golongan fasik,” katanya.

Qazaf adalah tuduhan zina. Zina tanpa membawa empat orang saksi adalah haram dan hukuman had ke atas orang yang menuduh itu ialah lapan puluh kali sebatan berserta hukuman kesaksian penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya.

Bangunlah Dari Tidur!

Posted in pas with tags , on Disember 25, 2009 by ffataah

Salam..lama sudah saya tidak menulis, dek kerana kesibukan kerja, tidak sempat untuk menulis. Hari ini saya terpanggil untuk meluahkan sedikit kegusaran.

Belakangan ini  suasana politik negara agak bercelaru lebih-lebih lagi di Kelantan. Nampaknya musuh-musuh kepada kepimpinan Tok Guru sedang meyerang bertubi-tubi kepimpinan beliau. Tidak lain melainkan ingin menyekat kebangkitan Kepimpinan Pakatan Rakyat yang digagaskan PAS, PKR dan DAP.

Dalam pada itu pula terdapat segelintir penyokong yang termakan isu-isu yang dibangkitkan oleh musuh-musuh Pakatan Rakyat ini lalu mula melatah dan menghangatkan lagi suasana politik negara. Jika dibiarkan, PR nampaknya sukar untuk bangun pada PRU-13 nanti.

Saya menyeru kepada semua pendokong kepimpinan Tok Guru dan seluruh Pakatan Rakyat agar tidak mengambil sebarang tindakan mengikut emosi semata-mata tanpa terlebih dahulu berfikir sedalam-dalamnya kesan kepada agama, parti dan negara.

Kepada para penyokong PAS, petikan artikel saya yang ke-2 terakhir dalam blog ini nampaknya masih releven, antaranya ” PAS perlu menoleh kebelakang memperkemaskan dasar perjuangan, patuh kepada pemimpin dan kembali kepada Allah”.

Sama-samalah kita berpegang teguh dibawah di bawah kepimpinan Tok Guru dan berdoa agar Allah menguraikan segera segala kekusutan ini. Sekian.


New Perspective

Posted in umum with tags , , on Ogos 11, 2009 by ffataah

New Perspective

Menguruskan seorang pengurus besar bukanlah satu tugas yang mudah. demi kelangsungan sebuah syarikat kontraktor yang berwibawa di negeri Kelantan Darulnaim, sedikit pengorbanan diperlukan.

Kelkon, salah satu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan merupakan sebuah syarikat kontraktor bumiputra kelas A yang bertapak di Negeri Kelantan sejak 30 tahun dahulu. Tahun silih berganti, beberapa orang pengurus besar telah bertukar tangan demi mewujudkan sebuah syarikat yang berdaya saing dalam kelasnya.

Diterajui oleh Hj. Jawahir Dollah, pelbagai projek telah berjaya dibangunkan oleh Kelkon Sdn. Bhd. Terbaru dan kini dalam sentuhan terakhir pembinaan adalah sebuat pusat perdangan yang terdiri daripada dewan pameran, unit-unit pejabat dan penthouse, dikenali sebagai Kelantan Trade Centre (KTC). Terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu dan bersebelahan dengan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, dijangkakan ianya akan menjadi pusat bagi mengadakan pelbagai acara kerajaaan dan syarikat swasta daripada persidangan, pameran, seminar dan kursus mahupun bagi mengadakan majlis perkahwinan.

Abdullah paling gembira BN kalah 2 Bukit?

Posted in Uncategorized on April 14, 2009 by ffataah

Percayalah, bahawa orang yang paling ‘bahagia’ dengan kekalahan BN di dua Bukit ialah bekas Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Nikmatnya mungkin terasa dari tulang sum-sum hingga ke lubuk nurani yang paling dalam.

Setahun Abdullah dipersalahkan oleh bekas pemimpin, pemimpin serta ahli-ahli Umno terhadap prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum ke-12. Peralihan kuasa yang dirancang telah didesak supaya dipercepatkan sehingga terpancul amarah dari mulut Abdullah terhadap Muhyiddin Yasin, “Apakah Muhyiddin tidak sabar-sabar nak jadi Timbalan Perdana Menteri?”

Kemuncak segala penghinaan terhadap beliau tentulah apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir keluar dari parti asobiyah Melayu itu hanya kerana tidak mahu berpresidenkan Abdullah.

Penganut Mahathirisme yang fanatik percaya apabila berundurnya Abdullah, maka kuatlah Umno dan BN. Mahathir diarak di dua Bukit bagai baru turun dari kayangan. Mereka percaya, pemulihan sokongan sudah berlaku. Pakatan Rakyat, kalau tidak hilang deposit pun, sekurang-kurangnya akan kalah teruk.

Nampaknya, apa yang diyakini mereka tidak berlaku. Pakatan Rakyat di dua Bukit menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding dulu!

Sehebat mana pun kesetiaan Abdullah terhadap Umno, namun lubuk nuraninya tidak dapat berbohong dari merasa gembira dengan keputusan yang mengesahkan bahawa teruknya BN bukankerana Abdullah.

Terserlah sudah hakikat bahawa penolakan rakyat terhadap BN bukan kerana mana-mana individu dalam Umno. Bukan kerana Mahathir, Abdullah atau Najib. Bertukarlah sepuluh nahkhoda, sepuluh jong berlabuh, selagi anjing bercawat ekor juga, selagi itulah BN nazak dan menunggu saat datangnya sakratulmaut.

Maka faktor terbesar dan utama terhadap penolakan BN ialah kerana ia sudah sakit tua, nazak dan menunggu saat kematian. Meneliti keputusan pilihan raya kecil Bukit Selambau, terdapat empat petunjuk yang amat menakutkan Umno:

Pertama, kebangkitan pengundi muda. Mereka betul-betul tidak ‘bagi muka’ dengan BN. Di banyak daerah mengundi, BN kuat di saluran 1 tetapi teruk di saluran akhir. Tinjauan dilokaliti sepanjang pilihan raya berlangsung, para pemuda yang banyak berhimpun di markas Pakatan Rakyat. Sebahagian dari mereka adalah anak orang-orang Umno.

Kedua, pengundi bukan Melayu. Tinjauan sebelum hari penamaan calon agak merisaukan Pakatan. Pengundi kaum India dilaporkan kembali menyokong BN. Samy Vellu turun dengan duit yang banyak berjaya membeli ramai juga aktivis Pakatan Rakyat yang berpengaruh. Keadaan diburukkan dengan pengumuman S Manikumar sebagai calon. Beberapa pos KeADILan yang dibuka oleh kaum India ditutup. Beberapa ketua kampung Pakatan Rakyat kaum India berpaling tadah. Cemas juga dibuatnya.

Situasi yang berlaku tidak kekal dan berjaya dipulihkan. Markas kembali beroperasi danaktivis yang ‘menghilang’ kembali muncul satu persatu. “Jangan takut, kami cuma nak makan umpan Samy Vellu, tapi kail kami tak makan sekali,” ujar seorang aktivis kaum India.

Drama politik begini pun ada juga. Macam filem Hindi. Lihat tiga contoh daerah mengundi di mana pengundi Indianya adalah yang tertinggi. United Petani (75% India) Pakatan- 427, BN- 236, Petani Para (69.89 %) PR-107, BN-97 dan Bukit Rusa (71.22%) PR-260, BN-185. Bagi kaum Cina yang mewakili 20 peratus pemilih, langsung tiada masalah. Dari awal hingga ke akhir sokongan mereka padu untuk Pakatan.

Tomoi : Kemenangan Milik Kelantan

Posted in umum on Mac 30, 2009 by ffataah

Kejohanan TM-WMC Tomoi Antarabangsa Kelantan Piala Menteri Besar yang diadakan pada 26 Mac Lalu berakhir semalam. Ribuan peminat-peminat tomoi dari seluruh Kelantan membanjiri Stadium Mohd Ke-IV malam tadi bagi menyaksikan peninju-peninju berentap merebut kejohanan. Ternyata Kelantan mempunyai peninju-peninju yang hebat di arena sukan tomoi. Bertemu Abbas Ahmadi dari Kelab Boxx Warriors Kedah nyata bukan halangan bagi Fared dari Kelab M 150 Kota Bharu, Kelantan merebut kemenangan. Beliau menundukkan Abbas dalam lima pusingan dengan kelebihan kiraan mata.

Penyampaian hadiah dan trofi kemenangan berupa piala pusingan Menteri Besar Kelantan disempurnakan oleh YB Dato’ Hj Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Dalam ucapan penutup beliau antara lain mengucapkan syabas di atas penganjuran kejohanan pada kali ini dan berharap ianya akan menjadi salah satu produk pelancongan yang akan menarik pelancong-pelancong datang ke Kelantan. Beliau juga menegaskan supaya semua pihak menjaga disiplin semasa kejohanan, dengan demikian Kerajaan Negeri tiada halangan bagi memberi kebenaran supaya Kejohanan Tomoi diadakan pada masa-masa akan datang. Ianya disambut baik oleh peminat-peminat Tomoi Kelantan.