Politik Siber

Perkembangan teknologi hari ini menyaksikan satu fenomena baru di atas talian. Masyarakat menjadikan internet sebagai medium alternatif bagi meluahkan pendapat, menyuarakan ketidakpuashatian hatta melemparkan bantahan keatas mana-mana sistem yang menyalahi dan tidak selari dengan pemikiran mereka. Dek kerana kekangan kebebasan bersuara serta liputan media yang ada yang tidak menyeluruh, kini masyarakat beralih kepada media internet sebagai jalan yang paling mudah bagi mendapatkan maklumat-maklumat semasa serta lebih telus dan menyeluruh. Kelebihannya adalah disamping mendapatkan berita-berita terkini mereka juga boleh memberikan reaksi dengan memberikan pendapat masing-masing. Maka lahirlah fenomena mencipta blog peribadi. Menerusi saluran ini bukan sahaja para blogger dapat mendedahkan tulisan-tulisan yang biasa malah merangkumi semua aspek termasuk hiburan, isu semasa, dan yang paling popular adalah politik. Ini kerana politik berkait rapat dengan kekangan kebebasan bersuara dan saluran alternatif;internet. Menerusi blog sesiapa sahaja layak berpolitik daripada umur baru lahir sehingga akhir hayat. Sesiapa sahaja tanpa perlu menjadi calon dapat berkempen bagi menundukkan pihak lawan dan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tahun. Dan yang pasti impaknya tidak kurang hebat dengan politik yang dimainkan dikalangan ahli-ahlinya.

Daripada pemerhatian ini suka saya menggunakan istilah ‘politik siber’ sebagai satu istilah yang tepat dan fenomena ini telah berkembang dengan cepat di negara kita. Kewujudan blog-blog berunsur politik kian bertambah dari hari ke sehari bagaikan cendawan selepas hujan. Maka bertambahlah para YB siber negara. Perkembangan yang positif ini layak diberi perhatian selaras dengan perkembangan senario semasa.

Tinggalkan komen