Arkib untuk agama

Lagi Tentang Adik Muhammad…

Posted in agama with tags , , , , , , , , , on Mac 10, 2009 by ffataah

Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan semalam sekali lagi menjulang nama adik Muhammad(berbaju biru-gambar) setelah diberi penghargaan sebagai salah seorang penerima anugerah pada majlis tersebut.

Beliau yang merupakan hafiz Al-Quran mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada penghargaan yang diberikan. Adik Muhammad yang merupakan seorang pelajar Mari Bertarannum terbitan TV9, antara lain menasihatkan khususnya kepada pelajar-pelajar sepertinya supaya berusaha bersungguh-sungguh di dalam pelajaran dan hendaklah bersabar kerana seorang pelajar akan sentiasa menhadapi cabaran dan dugaan di dalam usaha untuk mencapai kejayaan.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1430 Hijrah telah diberikan kepada Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Sidek Baba, 63.  Penerima-penerima anugerah lain ialah; (dari kiri-gambar) Muhammad, Mohd Yunus, Maamor, Dr Sidek, Mortadha dan Muhammad Haziq.

Bersediakah Remaja Masa Kini Menuju Mahsyar?

Posted in agama with tags , , , , , , on Mac 4, 2009 by ffataah

Zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran. Golongan remaja dengan fizikal yang segar-bugar, dan pada usia inilah gelombang syahwat yang sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawalnya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat. Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui konsert-konsert hiburan, di mana artis menjadi sanjungan dan ikutan. Kesannya, ia bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, malah ia menjadikan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Tidak cukup dengan itu ada yang dengan mudah menyerahkan maruah diri demi tuntutan nafsu.

Budaya barat yang bersalut kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik termasuk juga video lucah menjadikan golongan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yang begitu mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiyah Islam, mendampingkan diri dengan kelompok pejuang Islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada sebarang ancaman pengaruh mungkar.

Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Sebab itulah apabila mereka tiba di Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadiran mereka akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan, “Selamat datang wahai para remaja yang baik”.

Teruskan membaca

‘Allah’ Hanya Untuk Islam

Posted in umum with tags , , , , , , on Mac 1, 2009 by ffataah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan serta-merta pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan agama Kristian.

Berikutan itu, Herald-The Catholic Weekly dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya, sehingga keputusan mengenainya dibuat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengakui ada kesilapan dalam penggubalan perintah bertarikh 21 Januari yang diwartakan pada 16 Februari lalu itu, hingga menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, perintah itu seolah-olah memberi gambaran kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sedangkan keputusan sudah dibuat melarang perkataan itu digunakan dalam penerbitan berkenaan. Teruskan membaca

Masjid ‘Pagoda’ Di Rantau Panjang

Posted in agama, Aktiviti, semasa with tags on Oktober 7, 2008 by ffataah

Masjid Cina, mercu tanda baru bagi penduduk Rantau Panjang, Kelantan. Bernilai kira-kira RM7.2 juta masjid ini Juga dikenali sebagai masjid pelbagai budaya dengan mengambil contoh senibina Pagoda di China. Walaupun pembinaannya masih belum sempurna, ia telah pun digunakan untuk untuk sembahyang terawih semasa di bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Pembinaan masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya bulan hadapan.

Sementara ianya dibuka kepada umat Islam untuk sembahyang,  pelawat-pelawat juga dibenarkan untuk melihat senibina masjid dan sebagai tempat untuk berehat kerana disediakan tempat khas di ruangan bawah masjid. Kewujudan masjid ini dijangka akan menarik ramai pelancong yang datang untuk melihat Masjid yang satu-satunya terdapat di Negeri Kelantan seumpamanya. Setakat ini, sambutan daripada pengunjung-pengunjung adalah diluar jangkaan. Mereka terdiri daripada pelawat-pelawat daripada luar Kelantan dan penduduk di Selatan Thailand yang sering berkunjung ke daerah ini. Selain menunaikan solat dan berehat, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar masjid sebagai kenangan.

Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Posted in semasa with tags , , on Oktober 5, 2008 by ffataah

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini. “Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.

“Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama.”Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam perutusan Eidulfitrinya.Beliau percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. “Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri.

“Saya yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua,” kata beliau.Bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Aspek kepelbagaian tersebut harus menjadi kekuatan rakyat Malaysia untuk berganding bahu serta saling percaya antara satu sama lain, kata beliau. “Tuhan tidak membezakan kita di antara warna kulit ataupun fahaman politik malah kepercayaan agama terjamin di kalangan semua agama, termasuk Islam. “Oleh itu adalah tidak betul dan tidak patut insan dalam parti politik tertentu cuba memecah belahkan rakyat dan menggugat perpaduan nasional dengan menggunakan isu perkauman, menabur fitnah dan menggalakkan penggunaan kekerasan.

“Namun kumpulan ekstremis ini cuba menggunakan isu bahasa sungguhpun semua bahasa di dunia baik Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Hindi, Urdu, Thai dicipta oleh Tuhan,” kata Guan Eng. Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan. “Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz,” katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza. “Jangan jadikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai alasan untuk bertindak ganas atau menuju ke arah jenayah. Yang penting, tali silaturahim antara kita harus diikat erat. “Jangan kita biar pihak tertentu mengadu domba persahabatan kita sesama kaum semata-mata kepentingan politik perkauman sempit mereka.

“Semoga hari lebaran ini disambut dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan. Amar Ma’aruf Nahi Mungkar . Maaf zahir batin,” kata beliau mengakhiri perutusannya.

Sumber : Harakahdaily

Qari Muda Julang Nama Malaysia

Posted in agama with tags on September 22, 2008 by ffataah

Muhammad Ahmad Zahid (gambar) mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah al-Quran Antarabangsa Dubai (Dihqa) ke-12 yang berakhir di sini kelmarin.

Lebih membanggakan, hafiz berusia 13 tahun itu juga diberi penghormatan memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis penyampaian hadiah oleh Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammad Rashid Al Maktoum.

Berbaju Melayu dan bersongkok, Muhammad, dari Sekolah Darul Hikmah, Ampang, Selangor yang juga salah seorang pelajar rancangan ‘Mari Bertarannum’ terbitan TV9, gembira serta tidak putus-putus tersenyum menerima tahniah daripada pegawai kerajaan, peserta dan hadirin yang membanjiri Pusat Persatuan Kebudayaan dan Sains, Al Mamzar.

10 Sebab Mengapa Doa Tertolak Menurut Ibrahim Adham

Posted in agama with tags on Ogos 24, 2008 by ffataah

1. Kamu mengaku mangenal allah,tetapi hak-haknya tidak kamu  penuhi.Hak allah ialah disembah. Menyembah allah bererti mentaati seluruh perintahnya serta meninggalkan segala larangannya

2. Kamu membaca al-quran,tetapi isinya kamu tidak amalkan.

3. Kamu mengaku mencintai Rasulullah ,tetapi sunnahnya kamu tidak amalkan.

4. Kamu mengaku syaitan itu musuhmu,tetapi kamu bersahabat denganya.

5. Kamu berdoa untuk menjauhi azab neraka,tetapi kamu lemparkan dirimu ke dalamnya dengan selalu membuat dosa.

6. Kamu selalu berdoa untuk masuk syurga,tetapi kamu tidak beramal untuknya.

7. Kamu katakana bahawa kematian itu pasti datang,tetapi kamu tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

8. Kamu sibuk memperkatakan aib saudaramu,tetapi kamu lupa melihat aibmu sendiri.

9. Kamu makan nikmat tuhanmu,tetapi kamu tidak bersyukur kepadanya.

10. Kamu kebumikan orang-orang yang meninggal dunia,tetapi kamu tidak mengambil pengajaran (keinsafan) daripadanya.

Muzik semasa mampu menandingi lagu Al-Quran?

Posted in agama with tags on Julai 28, 2008 by ffataah

Siapakah ; Ab Basit Abdussamad?

Mustafa Ismail?

Shahat Anuar?

Yasir Sharqawi?

Misyari Al-Afasi?

Siapakah nama-nama yang tersebut di atas? Demoloni percaya tidak ramai di kalangan kita yang mengenali nama-nama tersebut lebih-lebih lagi para remaja.

Namun jika ditanya, siapakah Michael learn to Rock, Mariah Carey, Kurt Kobain, Britney Spears, Akon, Will Smith, Angelina Jolie, Paris Hilton dan sebagainya, ramai yang kenal dan akan menjawab mereka adalah artis-artis yang ternama dan sedang gah di zaman sekarang dan di zaman-zaman semasa mereka hidup. Di antara mereka merupakan penyanyi-penyanyi yang dikatakan mempunyai suara yang merdu dengan lagu-lagu yang mengasyikkan. Artis-artis ini menjadi idola kepada artis-artis tanahair kita dan menjadi ikutan para remaja sekarang.

Bagaimana pula dengan nama-nama yang disebut di atas tadi? Siapakah mereka? Sungguh hanya pencinta agama sahaja yang mengenali mereka ini lebih-lebih lagi mereka yang menggemari lagu-lagu Al-Quran. Nama-nama tersebut merupakan sebahagian daripada qari-qari yang ternama kerana bacaan Al-Quran mereka yang sangat menarik. Di kalangan mereka ada yang telah meninggal dunia namun dek kerana kelunakan suara mereka melagukan lagu-lagu Al-Quran, kebolehan tersebut sukar dicari ganti.

Sebut sahaja Sheikh Ab Basit Abdussamad, kelunakan suaranya dengan kelebihan nafas yang panjang, mampu membaca dua tiga ayat dengan hanya satu nafas. Tidak kurang juga qari-qari yang lain, dengan alunan lagu-lagu Al-Quran samada Bayati, Rast, Nahwand, Hijaz, Soba’, Sikah dan Jiharkah, kemerduan lagu Al-Quran alunan mereka tidak dapat ditandingi oleh muzik-muzik semasa.

Ternyata, Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad S.A.W. Bahasanya yang indah tidak dapat ditandingi oleh mana-mana muzik yang ada di dunia ini, jauh sekali untuk ditandingi oleh artis-artis barat yang dikatakan menjadi idola para artis kita sekarang. Namun, keindahan bahasa Al-Quran itu hanya dapat dinikmati oleh orang-orang yang berfikir dan cintakan Kalamullah, Al-Quranul Karim.

Kepada saudara-saudara di luar sana, tidak kira siapa pun anda, lebih-lebih lagi yang bergelar artis dengan alasan memperjuangkan seni, percayalah, tidak ada muzik yang betul-betul sempurna dan dapat menandingi Al-Quran. Bukalah minda, hayatilah seindah-indah lagu yang diciptakan khas untuk umat Islam dan bandingkanlah sejauh mana kita dapat berbangga dengan muzik-muzik yang ada sekarang. Mudah-mudahan kita akan lebih terbuka untuk menerima apa yang betul-betul terbaik buat diri kita.